Saudara Pengarang,
KEGIATAN ejen tarik kereta yang menggunakan kekerasan semasa
menarik kereta sering berlaku. Kejadian ini menunjukkan seolah-olah tidak wujud
satu bentuk peraturan khusus bagi ejen tarik kereta ini.
Sebenarnya telah wujud satu kod etika pengambilan semula
milik sejak tahun 1992, yang dirangka oleh Kementerian PERDAGANGAN Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna, FOMCA, Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia dan
Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia.
Antara kandungan kod etika ini ialah:
Bilangan orang yang bertugas untuk mengambil semula milik
hendaklah kecil melainkan keadaan memerlukan bantuan TAMBAHAN.
Pengambil semula milik (ejen tarik kereta) hanya boleh
memasuki kawasan premis dengan pengetahuan dan kebenaran penghuni.
Pengambil semula milik hendaklah bersopan-santun dan
berpakaian kemas. Mereka harus mengekalkan tahap profesionalisme dan kewibawaan
dalam menjalankan tugas.
Menggunakan kekerasan dalam apa jua bentuk adalah dilarang
semasa menjalankan tugas.
Semasa mengambil semula milik, pengambil semula dimestikan
mengemukakan notis kepada penyewa dan memaklumkan perkara-perkara berikut:
Alamat dan nombor telefon syarikat kewangan dan pegawai yang
diberi kuasa untuk dihubungi segera bagi menyelesaikan sebarang masalah.
Pengambil semula milik perlu memberi masa yang berpatutan
kepada penyewa untuk memeriksa kenderaan dan mengeluarkan barang-barang
kepunyaannya.
Seboleh-bolehnya pengambilan semula milik hendaklah
dijalankan di hadapan penyewa atau sesiapa yang dibenarkan membawa kenderaan
tersebut.
Pengambil semula milik hendaklah pada bila-bila masa
mengambil tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.
Semasa pengambilan semula milik, penyewa perlu meminta
daripada pengambil semula milik:
Satu salinan notis mengikut Jadual Keempat Akta Sewa Beli
1967.
Kad pengenalan dan kad kuasa.
Meminta masa mencukupi untuk memeriksa kenderaan dan
mengeluarkan barang-barang persendirian.
Bagi mengelakkan kejadian tarik kereta secara kekerasan ini
terus-menerus berlaku, semua pihak yang terlibat dalam peraturan dan industri
sewa beli seperti Kementerian PERDAGANGAN Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Bank Negara serta pihak-pihak berkaitan seperti Persatuan Syarikat-Syarikat
Sewa Beli Malaysia dan Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia hendaklah
mengguna pakai dan mematuhi kod etika pengambilan semula milik ini.
Sekiranya kod etika ini dapat dipatuhi, pengguna tidak lagi
akan berhadapan dengan masalah ejen tarik kereta yang tidak bertanggungjawab
ini.
Dalam pada itu pihak yang berkaitan seperti syarikat
kewangan perlu lebih bertanggungjawab agar ejen tarik kereta mereka tidak
melakukan sesuatu yang di luar batasan undang-undang. - MOHD YUSOF ABDUL
RAHMAN, Presiden, Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan.
UTUSANMalaysia - 28 Disember 2005
No comments:
Post a Comment