Sekarang kita dah sampai pada bab yang agak menarik. Ada
adegan adegan “panas” seperti tuduh menuduh, fitnah memfitnah, kejar mengejar, caci maki dan mungkin juga
ada adegan tumbuk menumbuk, baling kerusi ala mesyuarat parti politik. Hmmm…
memang lebih kurang senario politik semasa aje. Ya, kita sedang “bercakap”
tentang proses penarikan balik kereta yang tak berbayar.
Setelah mengambilkira tempoh “wajib” dua bulan tunggakan
ansuran berturut turut dan pengeluaran Notis Jadual Keempat yang memberikan
tempoh 21 hari dan setelah mengambil kira cuti umum, hujung minggu, anak demam,
bini demam dan Bos demam, TIGA bulan
sudah berlalu dan “Surat Tarik” pun sudah dikeluarkan. Seperti yang digambarkan
diatas, kita andaikan kereta berjaya ditarik balik.
Bagi seorang pegawai atau kerani dibahagian collection, ini
merupakan suatu situasi dimana perasaan “gembira” kereta berjaya ditarik balik
akan bercampur baur dengan kerisauan tentang apa yang bakal dihadapi apabila
kereta, Agen Penarik dan Penyewa dan mungkin juga penduduk penduduk Kampung
Dusun yang “prihatin” membawa jamung, obor api, sabit dan cangkul sampai ke
pejabat untuk “berbincang”.
Antara keperluan bagi setiap Agen Penarik apabila menarik
kereta ialah membuat lapuran polis tentang penarikan kereta dan seterusnya akan
pergi ke Bank membawa kereta tersebut untuk pemeriksaan dan sesi fotografi.
Pemeriksaan melibatkan pengesahan nombor enjin dan casis, aksesori dan juga
merekodkan barangan peribadi yang terdapat dalam kereta tersebut. Segala
“kecacatan” pada kereta seperti calar dan bahagian yang kemik akan direkodkan
dan diambil gambar sebelum dihantar ke stor yang disewa oleh Bank. Pihak stor
juga akan melakukan proses pemeriksaan yang sama . Ini perlu untuk melindungi
kepentingan masing masing dari segi tuntutan yang mungkin dibuat oleh Penyewa
pada masa akan datang.
Dalam sesetengah kes yang ada adegan “kejar mengejar”, kereta
ada kalanya dimasukkan terus kedalam stor dan pemeriksaan dilakukan kemudian.
Bagi kerani atau pegawai collection senior yang dah “masak” dan “mangli” dengan
situasi begini takdelah “suspen” sangat. Kalau ada kerani baru atau “trainee
officer” atau yang baru kena transfer ke bahagian collection, inilah masanya
mereka “dilepaskan” untuk menghadapi situasi “getir” ini untuk memantapkan
“kekentalan jatidiri” (yelah tu, ni kes “otai” dah muak nak handle lah ni, ikut
senioriti, yang paling “rendah” kena jadi “frontliner”).
Apabila semua pihak yang terbabit sampai, kalau ada
kekecohan yang berlaku, pegawai atau kerani dan Pak Guard akan cuba meredakan
keadaan dengan menjadi orang tengah dan pengadil. Jadi pengadil ada juga risiko
kalau tak kena gaya seperti yang berlaku kepada pengadil bola dan gusti yang
dianggap “berat sebelah”. Apa hal pun
setelah keadaan reda sedikit, masing masing diberi peluang untuk mengemukakan
hujah dan cerita masing masing.
Berikut adalah petikan cerita dan hujah dari mereka yang
terbabit yang berasaskan kisah sebenar yang diolah semula secukup rasa:
CERITA VERSI AGEN PENARIK
Pagi tadi saya dan rakan sekerja saya telah “terserempak”
(Padahal dah follow 2 – 3 hari dah, nak tengok “pattern” pergerakan) dengan
kereta ni. Kami mengekori kereta yang mungkin dalam perjalanan ketempat kerja
dan menunggu masa yang sesuai apabila kereta berhenti untuk parking.
Kami pun menghampiri kereta dan memberi salam kepada tuan
kereta. Setelah bersalam salaman dengan penuh mesra kami pun memperkenalkan
diri kami dengan senyuman manis sebagai wakil dari Bank dengan memberikan Kad
Pengenalan dan Kad Kuasa kami beserta dengan “Surat Tarik” dan dengan rendah
hati meminta kunci kereta dari Penyewa.
Akan tetapi, sifat kami yang penuh sopan santun ini telah
dibalas dengan kata nista dan maki hamun yang mengguris hati kami yang sensitip
ini mengingatkan kami pada lagu “Hatiku Kau Guris Luka” oleh Sweet September.
Penyewa terus enggan bekerjasama dan mula bertindak aggresif dan meneruskan
kata nista kepada kami antaranya “bodo tak sekolah”, “belajar malas sebab tu
kerja macam ni” dan beberapa lagi perkataan 18SX yang terpaksa kami sensor
sebab kami tak biasa dengan perkataan kotor macam tu.
Setelah puas bersabar kami dengan “berat hati” telah
terpaksa mengambil kunci dari Penyewa manakala rakan rakan saya mengeluarkan
barang barang peribadi Penyewa keluar dari kereta. Kerana tidak tahan lagi
dengan Penyewa yang terus menerus memaki hamun kami, kami pun beredar dengan
meninggalkan Penyewa disitu yang enggan mengikut kami ke Bank besama sama.
Selepas itu kami terus buat repot polis dan datang ke Bank. Kami meminta upah
yang lebih dari biasa atas dasar kepayahan mengambil semula kereta dan Penyewa
yang bersikap macam “gengster” dan telah melukakan hati kami sehingga salah
seorang dari kami telah menangis teresak esak kerana tidak tahan dengan “deraan
mental” yang dialami.
CERITA VERSI PENYEWA
Pagi tadi semasa keluar dari rumah saya perasan ada satu
kereta telah mengekori saya. Dalam kereta ada dua atau tiga orang. Setelah
sampai ketempat kerja saya pun meletakkan kereta ditempat parking. Belum sempat
saya keluar setelah membuka pintu, tiba tiba datang dua orang yang menarik saya
keluar dan merampas kunci kereta daripada saya.
Selepas merampas kunci tanpa memberi Salam salah seorang
dari mereka mengatakan bahawa mereka dari Bank dan terus memberikan Salinan
Surat Tarik dan sepantas kilat menunjukkan Kad Pengenalan dan “Kad Kuasa” dari
Bank tanpa sempat saya membacanya. Saya meminta tempoh dari mereka supaya boleh
pergi ke Bank bersama sama namun mereka mengatakan saya kurang ajar dan tak
tahu nak bayar hutang dan beberapa lagi kata kata kesat yang saya tidak perlu
ulang disini.
Manakala saya berbincang dengan dua orang dari mereka,
seorang lagi telah mengambil beberapa barang saya dari kereta dan memasukkannya
kedalam beg plastik dan menyerahkannya kepada saya. Selepas itu mereka
mengarahkan saya untuk pergi ke Bank jika tidak puas hati dan meninggalkan saya
“terkonteng konteng” seorang diri.
Saya merasa kecewa, marah dan tertekan kerana mereka telah
memberi “kemaluan” yang besar kepada saya kerana terdapat ramai orang semasa
kejadian berlaku. Walaupun saya salah, tidak sepatutnya wakil Bank bertindak
sedemikian rupa. Saya ada menyimpan 2 gelang emas, satu cincin emas dan satu
cincin suasa dan duit tunai RM2,000 dibawah kerusi bahagian pemandu dan
semuanya telah hilang. Saya sudah mengadu pada Mak saya, Rela, Polis dan JKKK
tentang kejadian yang memilukan ini dan sebahagian dari mereka termasuk Mak
saya telah datang untuk memberi “sokongan” moral.
CERITA KERANI/PEGAWAI BANK (TENGOK SITUASI)
Saya baru tahu tentang kes penarikan ini sebab bukan saya
yang keluarkan Surat Tarik. Surat Tarik sekarang “Head Office” yang keluarkan
sebab baru baru ni kita telah dapat arahan dari Bank Negara untuk
memperketatkan kawalan kredit kami. Dulu tunggakan lepas TIGA bulan baru kita
bagi peringatan. Terpaksalah ikut arahan nak buat macamana. Encik pun tak
pernah bayar langsung jadi susah saya nak tolong. Kita dah bagi sms dan surat
peringatan tapi takde respon dari pihak Tuan/Puan.
Berkenaan dengan Agen kita, Agen kita telah menjalani
latihan intensif tentang tatacara penarikan balik dan berdaftar dengan AHPCM.
Kalau ada kesilapan kami mohon maaf dan akan bagi amaran kepada mereka tentang
tingkahlaku yang tak betul (kena backup jugak Agen kalau ketara Penyewa
kelentong) dan kalau ada lapuran tentang barang yang hilang, Tuan/Puan boleh
buat lapuran polis dan biar polis yang buat siasatan. Kita akan buat
pemeriksaan kereta Tuan/Puan dan “take note” aduan Tuan/Puan.
Tentang kos tarik pulak, kita akan ikut kadar kos yang
standard dan budi bicara untuk jumlah bulan yang tertunggak dan kawasan
berdekatan iaitu RM500. (Biasanya Agen akan komplen upah sepatutnya lebih mahal
sebab Penyewa memang “kurang ajar” tapi biasanya Bank akan kata nanti “cover”
dengan Surat Tarik yang lain. Kena ada tolak ansur kalau tidak “susah” buat
kerja)
KESIMPULAN
Senario diatas adalah diantara beberapa contoh apa yang
biasa berlaku apabila kereta ditarik balik (tak semestinya macam ni, banyak
“pesen” lagi). Nak percaya Agen atau Penyewa 100% pun tak boleh jugak jadi kena
pandai pandai “adjust” dan menilai mengikut situasi. Berkenaan dengan kos tarik,
juga mengikut keadaan dan faktor faktor lain yang mempengaruhi seperti jumlah
tunggakan, “kesusahan” mengambil balik dan kadangkala Bank terpaksa “buy back”
daripada “Taiko” atau “Syarif Dol” atau “Pak Long”, “Pak Ngah”, “Pak Teh” dan
macam macam lagi “orang bergelar” tempatan yang telah “membeli” kereta dengan
harga “pukal” yang kadang kadang terhasil dari kes sambung bayar dan “sambung
atas sambung” yang memang susah untuk diambil semula melainkan “kow tim” dengan
membeli balik kereta jika difikirkan berbaloi. Kereta biasanya “berlegar legar”
dikawasan pendalaman dan jarang jarang sekali keluar kawasan “safe zone”. Ada
juga Agen yang mengambil kereta dari Penyewa dan “peram” selama beberapa bulan
untuk mendapatkan upah yang lebih tinggi. Memang macam macam “pesen” yang
memeningkan kepala.
Apa kes sekalipun, apabila kereta telah ditarik, Bank perlu
menghantar Notis Jadual Kelima seperti yang telah diperuntukan di bawah Seksyen
16 (3) Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010). Ini adalah keratan Seksyen tersebut:
No comments:
Post a Comment