Semalam penulis ada terdengar masalah seorang kenalan
mengenai isu ‘tarik kereta’, iaitu kenderaan bermotor yang perlu ditarik balik
oleh syarikat kewangan kerana kegagalan PEMBAYARAN sewa beli. Di sini kami
huraikan secara ringkas tentang hak pembeli.
Apa sahaja kenderaan yang dibeli secara ‘sewa beli’ terus
menjadikan pembeli sebagai ‘penyewa’ manakala syarikat kewangan pula adalah
‘pemunya’. Dan bagi kes pembelian kenderaan, ia tertakluk di bawah Akta Sewa
Beli 1964 ataupun juga dikenali sebagai Akta 212.
Mengikut undang-undang, syarikat kewangan berhak mengambil
semula (tarik) kenderaan tersebut apabila penyewa gagal MEMBAYAR jumlah ansuran
sebanyak dua kali berturut-turut; termasuk gagal membayar ansuran terakhir.
Sekalipun penyewa telah meninggal dunia, ansuran bulanan
yang tidak dibayar selama empat bulan berturut-turut juga membolehkan kenderaan
tersebut ditarik semula oleh syarikat kewangan.
Proses tarik kereta bermula dengan syarikat kewangan
menghantar surat dikenali sebagai Notis Jadual Keempat. Surat ini adalah notis
bertulis 21 hari menyatakan tindakan syarikat kewangan berkaitan untuk menarik
balik kenderaan tersebut. Dua mingu (14 hari) selepas tarikh Notis Jadual
Keempat dikeluarkan, akan dikeluarkan pula notis kedua. Maksudnya lebih kurang
sama, iaitu untuk menyatakan hasrat syarikat kewangan untuk menarik balik
kereta tersebut selepas tarikh luput notis Jadual Keempat.
Harus diingat bahawa surat ini akan dihantar kepada penyewa
ke alamat terakhir di dalam rekod mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab
penyewa untuk mengemaskini apa-apa pertukaran alamat yang berlaku.
Sekarang kita tiba kepada isu yang penting – perkara
berkaitan mengenai tindakan menarik kereta.
Selalunya syarikat kewangan akan melantik penarik kereta
yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia. Dan sebelum
menarik kereta, dia perlu menunjukkan kepada penyewa kad pengenalan, kad kuasa
dan surat arahan tarik kereta yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan.
Dan individu penarik kereta ini perlu mematuhi beberapa
peraturan, antaranya:
Perlu menunjukkan kad kuasa (diberi oleh syarikat kewangan)
kepada penyewa
Perlu bersikap profesional
Perlu kelihatan kemas dan tidak datang dalam kumpulan yang
ramai
Tiada kekasaran digunakan
Mereka tidak boleh memasuki premis penyewa tanpa izin
penyewa
Penyewa mesti diberi masa yang cukup untuk mengeluarkan
barangan peribadi daripada kenderaan yang hendak ditarik
Selepas kenderaan ditarik, pihak tarik kereta perlu membuat
laporan polis dengan serta merta
Di dalam 21 hari selepas kereta ditarik, syarikat kewangan
akan memberi notis kepada penyewa dan setiap penjamin di dalam perjanjian sewa
beli tersebut yang dikenali sebagai Notis Jadual Kelima. Di dalam notis ini
tertulis kebenaran untuk si penghutang MEMBAYAR balik jumlah hutang kepada
pihak syarikat kewangan.
Selepas itu, penyewa boleh mendapatkan balik kenderaan yang
ditarik setelah menjelaskan jumlah ansuran yang tertunggak dan kos-kos
berkaitan sewaktu proses tarik dilakukan (kos penyimpanan, baik pulih,
selenggaraan). Penyewa juga boleh mendapatkan balik kereta tersebut setelah
MEMBAYARjumlah baki hutang sewa beli termasuk kos-kos berkaitan.
Jika kedua-dua perkara ini tidak terjadi dalam masa 21 hari
setelah Notis Jadual Kelima dihantar, pihak syarikat kewangan berhak untuk
menjual kenderaan tersebut melalui kaedah lelong.
Jika ada apa-apa masalah – terutamanya mengenai proses tarik
kereta, seperti kekasaran ataupun pencerobohan premis tanpa izin penyewa – ada
beberapa pihak yang dapat membantu. Yang paling penting adalah Tribunal
Tuntutan Pengguna Malaysia dan Khidmat Biro Bantuan Guaman.
[Namun penulis juga beranggapan yang penyewa juga perlu
mengikut perjanjian sewa beli yang dibuat dengan syarikat kewangan. Jika gagal,
jangan terlalu defensif apabila kenderaan perlu ditarik.]
No comments:
Post a Comment